Sejarah Sidang video

Sidang video analog ringkas telah wujud hampir seawal penciptaan televisyen. Sistem sidang video ini terdiri dari dua sistem televisyen litar tertutup yang disambungkan menggunakan kabel. Semasa penerbangan angkasa lepas dikendalikan manusia pertama, NASA menggunakan dua sambungan frekuensi radio (UHF atau VHF), satu untuk setiap arah. Saluran TV sering menggunakan sidang video seperti ini apabila melaporkan dari lokasi jauh. Kemudian sambungan bergerak ke satelit menggunakan lori yang dilengkapi peralatan khas menjadi lebih umum.

Teknik ini bagaimanapun amat mahal, dan tidak boleh diterapkan dalam kegunaan biasa, seperti teleperubatan, pendidikan jarak jauh, mesyuarat perniagaan, dan seterusnya, terutamanya apa-apa kegunaan jarak jauh. Percubaan untuk menggunakan rangkaian telefoni biasa untuk menghantar video imbasan perlahan, seperti sistem pertama yang dibangunkan oleh AT&T, selalunya gagal disebabkan oleh kualiti gambar yang teruk dan ketiadaan teknik pemampatan video yang cekap. Lebar jalur 1 MHz dan kadar Picturephone 6 Mbit/s bit yang lebih besar pada 1970-an juga gagal menjayakan perkhidmatan ini.

Cuma pada 1980-an barulah rangkaian penghantaran telefoni digital mampu disediakan, contohnya ISDN, menjamin kadar bit minimum (lazimnya 128 kilobit/s) untuk penghantaran video dan audio termampat. Sistem khusus yang pertama, seperti yang dibuat oleh firma pelopor seperti PictureTel, mula muncul di pasaran apabila rangkaian ISDN mula berkembang di seluruh dunia. Sistem telepersidangan video sepanjang 1990-an berkembang dengan pantas dari peralatan dan perisian proprietari mahal serta keperluan rangkaian yang tertentu, kepada teknologi piawai yang mudah didapati oleh masyarakat umum pada harga yang munasabah. Akhirnya, pada 1990-an, sidang video berasaskan IP (Internet Protocol) mula boleh digunakan, dan teknologi pemampatan video yang lebih cekap dibangunkan, membolehkan sidang video berasaskan komputer meja, atau komputer peribadi (PC). Pada 1992 CU-SeeMe dibangunkan di Cornell oleh Tim Dorcey et al., IVS pula direka di INRIA, membolehkan VTC digunakan ramai. Kini, perisian tertentu atau plugin web, sestengahnya boleh didapati percuma, seperti NetMeeting, MSN Messenger, Yahoo Messenger, SightSpeed dan Skype menyediakan perkhidmatan murah persidangan video, walaupun dengan kualiti agak rendah, kepada semua.